Institusi Pengajian Tinggi Tempatan


• Universiti Brunei Darussalam(UBD)
 
UBD, universiti pertama ditubuhkan di Negara Brunei dan mula menawarkan program ijazah pertamanya  dalam tahun 1985.  Dari mula penubuhannya, UBD sekarang telah berkembang dengan jayanya sehingga menjadi sebuah institusi utama yang menawarkan program pembelajaran dan penyelidikan dalam pelbagai disiplin - Pengkajian Brunei, Sastera dan Sains Sosial, Perniagaan, Pengkajian Ekonomi dan Dasar Awam, Sains, Perubatan, Kepelbagaian Bahasa dan Pendidikan.  Program-program ditawarkan terdiri daripada peringkat Diploma, Diploma Lanjutan, Ijazah Pertama, Lepas Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah.  Di peringkat Ijazah Pertama, UBD menawarkan empat program generasi baru dalam bidang Sastera dan Sains Sosial, Sains, Sains Kesihatan dan Perniagaan yang dikenali dengan program “GenNEXT”.  Program “GenNEXT” memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk memilih salah satu program dari pelbagai jenis disiplin utama dan ditambah dengan pilihan kursus-kursus yang luas.  Dalam program “GenNEXT”, pelajar-pelajar tahun ketiga diberi peluang untuk menjalani program “Discovery Year” dengan diberi beberapa pilihan iaitu “Study Abroad Programme” (dengan pilihan tiga cara pembelajaran yang berlainan), “Internship” atau Khidmat Masyarakat.  Ini membolehkan pelajar-pelajar untuk meluaskan pengetahuan dan menimba pengalaman dengan persekitaran yang sebenar.   UBD juga menawarkan program satu semester sepenuh masa dikenali sebagai “UniBridge Programme” sebagai satu jalan alternatif untuk menyediakan pelajar-pelajar dengan kelulusan yang dikehendaki untuk mengikuti program “GenNEXT”.

 

Pada Disember 2008, Maktab Jururawat Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah bergabung dengan Institut Perubatan, UBD dan pada 19 Mei 2010, ia telah dinamakan semula sebagai Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB).

 

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web UBD:  http://www.ubd.edu.bn

 

• Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA)

 

Ditubuhkan pada Januari 2007, UNISSA ialah universiti Islam pertama di negara ini yang berperanan meningkat dan mengukuhkan sistem pendidikan agama dan berkeupayaan menghasilkan para ulama-ulama dan intelektual.  UNISSA menawarkan program dalam pelbagai bidang seperti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Usuluddin, Syariah dan Perundangan Islam, Perniagaan dan Sains Pengurusan.  Di samping menawarkan program di peringkat Diploma, Ijazah Pertama, Lepas Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah, UNISSA juga berperanan sebagai pusat untuk meningkatkan pengetahuan dan pembelajaran bahasa-bahasa, pusat penyelidikan Maddhab Shafi'i dan pengajian Lepas Ijazah.

 

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web UNISSA:  http://www.unissa.edu.bn

 

• Institut Teknologi Brunei (ITB)
 
Ditubuhkan pada 1986, institut ini bermula dengan menawarkan program-program di peringkat Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND) dalam bidang Kejuruteraan, ICT dan Perniagaan.   ITB telah berkembang sebagai sebuah institusi ternama tempatan dan antarabangsa melalui program-programnya yang berorientasikan praktikal, berasaskan industri dan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang yang sama ditambah dengan pengkhususan yang pelbagai.  Pada 18 Oktober 2008, ITB secara rasminya diistiharkan naik taraf kepada status Universiti oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah  Baginda sempena Sambutan Hari Guru, dengan mengekalkan nama lamanya.   Kini, ITB menawarkan program HND dan Ijazah Pertama dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan, Kejuruteraan Elektrikal dan Komunikasi, Kejuruteraan Awam, Komputer dan Sistem Maklumat, Kejuruteraan Kimia dan Petroleum dan Kejuruteraan Mekanikal.  Di samping itu, ITB juga menyediakan latihan dalam perkhidmatan serta mengalu-alukan pelajar antarabangsa untuk mengikuti program di ITB.

 

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web:  http://www.itb.edu.bn